Tip Jika Terlibat Kemalangan dan Membuat Tuntutan Takaful / Insurans

A) Sebelum Kemalangan (ketika mengambil polisi takaful)
  • Kita tidak tahu bila akan berlaku kemalangan, jadi ini adalah panduan ketika mengambil polisi takaful. Kalau kita tahu bila akan berlaku kemalanga, tentu syarikat-syarikat takaful terpaksa gulung tikar. Untuk panduan sebelum mengambil polisi takaful, boleh rujuk ke 9 Perkara Yang Perlu Anda Tahu Sebelum Memperbaharui Roadtax Kenderaan di dalam nota sebelum ini.
  • Pastikan jumlah perlindungan yang kita ambil mencukupi. Sebaik-baiknya, ambillah perlindungan berdasarkan harga pasaran. Sekiranya kita mengambil perlindungan di bawah harga pasaran, kelak akan menimbulkan masalah untuk membuat tuntutan. Contoh, kereta saudara sepatutnya dilindungi dengan harga pasaran RM 100,000 tetapi saudara hanya mengambil perlindungan RM 80,00 sahaja. Maka apabila berlau tuntutan kelak, saudara hanya layak 80% sahaja daripada nilai tuntutan. Sekiranya jumlah kerosakan RM 10, 00, saudara hanya layak RM 8000 sahaja, RM 2000 saudara terpaksa membayar sendiri.
  • Pastikan mengambil polisi perlindungan “comprehensive” atau menyeluruh. Jika mengambil “third party claim” atau perlindungan pihak ketiga, janganlah menyesal sekiranya berlaku kemalangan. Pernah terjadi seorang pelanggan saya yang mengambil polisi sebegini dengan dan berkata “insya-Allah tidak akan kemalangan”. Beberapa minggu sebelum polisinya tamat, keretanya kemalangan teruk! Janganlah ia berlaku ke atas tuan-tuan sekalipun hutang kereta sudah selesai. Beringat sebelum kena. 
  • Perlindungan asas hanya untuk body atau badan kereta sahaja serta enjin. Ia tidak termasuk radio dan kaset, cermin hadapan atau windscreeenadditional driver (pemandu tambahan), bencana alam dan sebagainya. Jadi pilihlah yang sewajarnya. Dan semestinya ada premium tambahan untuk perlindungan tambahan. Umpama kita membeli nasi lemak. Nasi lemak biasa harganya RM 1.50, dengan ikan bilis, telur, sambal dan timun. Jika inginkan sotong, udang atau ayam, tentulah kita perlu membayar lebih, bukan?
  • Sebaiknya polisi tambahan cermin, kerana ia paling berisiko untuk retak dan pecah. Saya sendiri pernah mengalaminya; cermin kereta saya dipecahkan dan ia tiada perlindungan tersebut. Ketika itu, Selepas kejadian tersebut, setiap kali pembaharuan pilisi, saya pastikan akan ada perlindungan untuk cermin, tetapi selepas itu tidak pula ia pecah 😉
  • Satu lagi perlindungan tambahan yang perlu ialah; pemandu kedua atau second driver. Selalunya ia diberikan percuma. Ia bagi memudahkan proses tuntutan sekiranya kemalangan berlaku ketika pemandu kedua yang membawa kenderaan. Selalunya pasangan. Jika tidak, seandainya pemandu lain yang membawa kereta dan kemalangan, prosesnya agak leceh dan kemungkinan akan dikenakan bayaran tambahan.
  • Perlindungan tambahan untuk bencana alam elok untuk mereka yang berada di kawasan-kawasan yang berisiko banjir seperti di Pantai Timur Semenanjung. Tapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kawasan-kawasan bandar seperti Kuala Lumpur pun mengalami banjir. Malah tempat tinggi pun banjir; Kota Tinggi, Johor (orang Johor jangan marah ya..)
  • Ambil nombor telefon wakil atau ejen atau talian panas hotline syarikat takaful. Ia bertujuan untuk memastikan nombor-nombor ini mudah dihubungi apabila berlaku kemalangan. Ia bertujuan untuk memudahkan proses seterusnya kerana berdasarkan pengalaman saya, para pelanggan saya akan panik apabila berlaku kemalangan, walaupun sudah diberikan panduan umum semasa mengambil polisi.

B) Ketika kemalangan berlaku, di tempat kejadian

  • Pertama sekali, jangan panik. 
  • Kedua pun jangan panik.Kerana situasi ini akan menyebabkan kita menggelabah dan membuat tindakan yang tidak sewajarnya.
  • Ketiga; jangan sekali-kali panik. Tip ini terpaksa diulang sebanyak tiga kali kerana sekiranya berlaku panik, 100 tip yang akan datang pun tiada berguna lagi.
  • Jika melibatkan pihak lain, elakkan berbincang (baca: bergaduh) tentang topik-topik seperti: “Salah Siapa”, “Aku Tidak Bersalah”, “Kamulah Puncanya!”, “Bukan Salah Ibu Mengandung” dan sebagainya. Sebenarnya perbincangan (baca: pergaduhan) tentang topik tersebut tidak akan membuahkan hasil kepada kedua-dua belah pihak, malah mengusutkan keadaan. Sebaiknya saling memberi kerjasama bak kata Wonder Pet, “Apa yang penting? Kerjasama!!”.
  • Sekiranya melibatkan kemalangan jiwa atau kecederaan fizikal, hubungi 999 dengan segera untuk mendapatkan ambulan. Sila simpan nombor 999 ini, walaupun saranan ini lucu kedengarannya. Sekiranya panik, nombor semudah 123 pun sukar untuk diingati. 
  • Ambil maklumat semua yang terlibat di dalam kemalangan. Maklumat-maklumat seperti nombor kenderaan, nama pemilik, nombor telefon amat membantu untuk memudahkan untuk ke membuat tuntutan. Juga maklumat tentang syarikat takaful / insurans masing-masing. Beri kerjasama kepada rakan-rakan baru tuan-tuan di tempat kemalangan. Ingat kembali pesanan Wonder Pet! 
  • Buat lakaran kasar tentang lokasi tempat kejadian dan lokasi kenderaan sebelum dan selepas kemalangan. Jika ada kamera adalah lebih baik. Itulah gunanya kamera di telefon tuan-tuan. Sekali lagi pesanan Wonder Pet digunakan di sini bagi memudahkan proses selanjutnya. Beri kerjasama kepada semua yang terlibat untuk mengambil gambar. 
  • Ketika ini, akan tibalah berbondong-bondong lori tunda yang “menawarkan” janji-janji manis kepada tuan-tuan, sebaiknya elakkanlah. Pernah seorang pelanggan saya, akibat terlalu panik, menerima “janji manis” tersebut sekalipun pernah diberitahu jangan berbuat demikian ketika mengambil polisi. Selepas kereta tersebut diperoleh kembali, didapati beberapa bahagian yang ditukar dengan “spare part” palsu. Saya mengesyaki ia ditukar untuk mengaut keuntungan kerana kebetulan kereta tersebut kereta baru. Apabila ditanyakan kepada bengkel, katanya ia diterima dalam keadaan tersebut daripada pihak lain iaitu lori tunda. Dalam keadaan ini agak sukar untuk mencari pihak lori tunda kerana mereka menjalankan secara “freelance” dan bukan bengkel panel. 
  • Sebaiknya hubungi syarikat takaful / insurans untuk mendapatkan lori tunda daripada bengkel yang bertauliah. Di peringkat ini, kerjasama daripada ejen / wakil takaful amat diperlukan untuk melicinkan proses.
  • Kemudian, laporkan kejadian tersebut kepada pihak polis dalam tempoh 24 jam. Pastikan balai polis tersebut adalah balai polis yang “menjaga” kawasan di mana berlakunya kemalangan tersebut. Saya sendiri pernah mengalaminya sendiri, kejadian berlaku di lebuh raya. Selepas keluar daripada exit, saya dapatkan balai polis terdekat daripada exit tersebut. Rupa-rupanya balai tersebut tidak boleh menerima laporan kerana tidak “menjaga” kawasan tempat saya kemalangan.
  • Laporkan juga kemalangan tersebut kepada pihak syarikat takaful sekalipun tidak berniat untuk membuat tuntutan. Ia bagi memudahkan proses tuntutan sekiranya ada selepas itu.

C) Selepas Kemalangan dan ketika membuat tuntutan

  • Proses ini selalunya dilakukan di bengkel panel syarikat takaful. Namun sebenarnya yang terbaik adalah berurusan secara terus dengan syarikat takaful, namun jarang-jarang sekali yang mempunyai masa serta kesedaran sivik yang tinggi untuk melakukannya. Jadi, untuk memudahkan urusan selalunya melalui pihak bengkel.Tetapi yang sebaiknya adalah tuan-tuan sendiri yang menguruskannya bagi mengelakkan manipulasi oleh bengkel.
  • Dapatkan bengkel yang terbaik. Ini adalah peringkat yang sedikit “tricky”, kerana ia tidak akan diperolehi secara mudah dan terus. Kebijaksanaan tuan-tuan diperlukan di sini.Sekiranya tuan-tuan bertanya secara terus kepada syarikat, mereka akan berikan bengkel yang terdekat. Mereka tidak akan memberitahu bengkel yang terbaik kerana bagi mengelakkan konflik dengan bengkel-bengkel lain. Jadi gunakanlah kebijaksanaan anda untuk mendapatkan maklumat ini. Contohnya jika mempunyai kenalan di syarikat takaful, ia boleh diperoleh. Maka di sinilah peranan perunding takaful tuan-tuan untuk mendapatkan maklumat ini.Satu lagi pilihan bengkel ialah bengkel franchaisor kereta saudara. Eg; kereta Toyota Siwh, pergilah ke bengkel Toyota.
  • Sediakan dokumen yang diperlukan untuk melancarkan proses tuntutan, seperti;
    1. Laporan polis
    2. Kad pengenalan pemandu
    3. Lesen pemandu
    4. Kad pendaftaran kenderaan
    5. Cukai jalan
  • Isikan borang tuntutan dan isi sewajarnya dan hantar kepada pihak takaful. Sebagaimana nombor 1, selalunya dilakukan oleh bengkel. Tetapi yang sebaiknya adalah tuan-tuan sendiri yang menguruskannya bagi mengelakkan manipulasi oleh bengkel.
  • Bagi tuntutan melibat takaful kenderaan tuan-tuan sahaja, terus berurusan dengan syarikat takaful tersebut, dan berikan kerjasama sewajarnya.
  • Jangan sesekali mengarahkan bengkel untuk memulakan proses pembaikan sebelum mendapat lampu hijau daripada pihak syarikat takaful.
  • Jika melibatkan pihak ketiga, maklumkan tentang perkara-perkara yang mungkin akan dibuat tuntutan oleh pihak ketiga.
  • Masalah biasa yang dihadapi oleh para pemilik kenderaan ialah kereta lambat dibaiki. Ia berpunca salah satu atau kedua-duanya daripada dua sebab di bawah;
    1.  Syarikat takaful / insurans lambat meluluskan proses tuntutan.
    2.  Bengkel lambat memulakan pembaikan kenderaan.
  • Jadi untuk mengelakkan masalah di atas, saya syorkan lakukan perkara berikut;
    1. Tanyakan kepada mana-mana bengkel panel; syarikat takaful manakah yang terbaik dalam meluluskan proses tuntutan.
    2. Kemudian, tanyakan kepada syarikat takaful, bengkel manakah yang terbaik dalam melakukan proses pembaikan.
D) TIP EKSTRA: Ketika Membuat Laporan Polis

Jika kemalangan tanpa melibatkan pihak lain.

  • Jika kemalangan melibat diri sendiri sahaja, apabila mengaku punca kemalangan adalah daripada diri sendiri, seperti mengantuk, menggunakan telefon dan sebagainya, akan membawa kepada implikasi saman
  • Apa pun ia atas budi bicara polis untuk menentukannya.
  • Maka, buatlah sebaik mungkin, berbudi bahasa, bersopan santun, beperkerti mulia untuk mengambil hati polis.
  • Sekiranya pegawai yang bertugas menganggap kemalangan tersebut disebabkan kecuaian diri sendiri, saman polis akan dikeluarkan sebanyak RM 300.
  • Awas, jangan rasuah, mereka anti-rasuah!

 

Jika kemalangan melibatkan dua atau lebih pihak

  • Jika dua kenderaan, selalunya pegawai polis akan memutuskan bahawa kenderaan di hadapan sebagai “yang dilanggar” dan kenderaan di belakang sebagai “yang melanggar”, kecuali dibuktikan sebaliknya
  • Maka, dalam keadaan ini maka kenderaan di belakang akan disaman kerana “bersalah” melanggar kenderaan hadapan.
  • Selain itu, apabila kemalangan melibatkan kenderaan yang berbeza saiz; contohnya kereta dengan lori, motor dengan kereta, maka yang “bersalah” adalah kenderaan yang lebih besar, kecuali dibuktikan sebaliknya.
  • Sitasi lain; jika ia melibatkan kenderaan dengan pejalan kaki, pemilik kenderaan akan didapati “bersalah”, kecuali dibuktikan sebaliknya.
  • Maka, “pihak yang bersalah” akan dikenakan saman sebanyak RM 300, dan sekiranya gagal, nama anada akan disenaraihitamkan.
  • Akhir sekali, jangan sekali-kali mengingkari untuk menerima saman polis, kerana ia akan menyebabkan disaman dua kali atas dua kesalahan. Maknanya RM 300 x 2 = RM 600!

 

Kisah Benar 1:Ibu saya mengalami kemalangan, dan membuat laporan polis. Ketika laporan polis dibuat ibu saya mengatakan bahawa ia berpunca daripada mengantuk. Namun pegawai yang menerima laporan tersebut mengesyorkan agar tidak dinyatakan perihal mengantuk. Maka dengan bantuan polis yang baik hati tersebut, maka laporan polis tersebut tertulislah kemalangan kerana “kambing melintas jalan”. Maka terselamatlah ibu saya daripada disaman.

(Nota; Tuntutan insurans tidak boleh dibuat ke atas kambing ataupun pemilik kambing)

 

Kisah Benar 2:Seorang pemilik kenderaan mengalama kemalangan. Kemudian apabila dilaporkan kepada polis lalu mengatakan bahawa dia mengantuk ketika memandu. Lantas, tanpa banyak soal polis tersebut mengeluarkan saman maksimum. Disebabkan perkara tersebut, dia tidak layak membuat tuntutan daripada pihak insurans.Nasibnya bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga. Sudahlah kemalangan, kemudian disaman pula. Selepas ditimpa tangga, terkena pula tahi ayam. Selepas dikenakan saman, dia tidak layak pula membuat tuntutan insurans dan terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk membaiki kenderaan yang kemalangan.

(Nota; Sebarang pengakuan kesilapan diri sendiri atas sesuatu kemalangan, akan membawa implikasi saman)

 

Kisah Benar 3: Seorang pelanggan saya mengalami kemalangan. Di membawa kereta dan terlanggar sebuah motosikal atas kecuaian penuggang motosikal membuat pusingan U-Turn. Kedua-duannya membuat laporan polis, dan penuggang motosikal mengaku bersalah. Maka, polis mengeluarkan saman terhadap penunggang motorsikal.

(Nota; Sebenarnya dalam situasi di atas, sekiranya pemilik motosikal tidak mengaku bersalah, maka pemilik kereta mesti membuktikannya. Tapi selalunya amat sukar untuk membuktikan keadaan itu)

 

Kisah Benar 4: Seorang rakan saya yang juga seorang peguam mengalami kemalangan jalan raya tetapi di tidak mengaku bersalah. Polis mengeluarkan saman, dan dia enggan menerimanya atas alasan dia tidak bersalah. Beberapa bulan selepas itu, apabila dia memperbaharuinya cukai kenderaannya dengan saya, didapati namanya disenaraihitamkan oleh polis. Rupa-rupanya dia dikenakan saman sebanyak RM 600 atas dua saman. Saman pertama kerana menjadi punca kemalangan. Saman kedua kerana tidak mahu menerima saman pertama.

(Nota; Ini kira tak makan saman la…)

Sumber: https://www.facebook.com/TakafulKenderaan/

Share Button